NIBONG TEBAL – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyerbu sebuah premis menjual topi keledar tiruan dengan menggunakan jenama ‘Arai’ di Sungai Bakap di sini, semalam.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, operasi yang dilakukan dengan kerjasama daripada wakil pemilik jenama tersebut membawa kepada penemuan 216 buah topi keledar di premis pemborong topi keledar serta aksesori motosikal itu.
“Kesemua topi keledar jenama MHR yang mengandungi tanda karya seni ‘Arai’ itu disita dan ia dianggarkan bernilai RM54,000.
“Kes disiasat dibawah Akta Hak Cipta 1987 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
“KPDN Pulau Pinang ingin memberi amaran keras terhadap mana-mana individu/syarikat yang berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Jegan meminta kerjasama daripada masyarakat supaya menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti memiliki salinan langgaran tanpa kebenaran oleh pemilik karya. – MalaysiaGazette