KUALA LUMPUR – Terengganu Footbal Club Sdn. Bhd, (TFCSB) menafikan dakwaan bahawa terdapat tunggakan gaji sehingga enam angka melibatkan bekas penyerang import Terengganu FC (TFC), Adisak Kraison.
Penafian itu dibuat dalam satu kenyataan di media sosial TFC selepas dakwaan tersebut tular dan turut dilaporkan beberapa media tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Mohd Sabri Abas berkata, pihaknya mengakui terdapat tunggakan pembayaran gaji melibatkan pemain kelahiran Thailand itu bagi Disember lepas yang mencecah lima angka.
“Pihak TFC menafikan mempunyai tunggakan sehingga enam angka seperti yang dilaporkan media tempatan dan tular di laman sosial.
“Sebaliknya, tunggakan tersebut hanya melibatkan lima angka pada Disember. Tahanan bayaran dibuat bagi memperhalusi pelbagai perkara dengan pihak ketiga seperti sewa rumah, kenderaan dan lain-lain sebagaimana termaktub dalam kontrak.
“Tuntutan selebihnya melibatkan pendahuluan diri, tiket penerbangan dan yuran tandatangan yang berjumlah lima angka. Perkara itu di dalam kemampuan TFC untuk menyelesaikannya,” katanya.
Mengulas lanjut, Sabri berkata, pihaknya telah menerima surat arahan penyelesaian daripada badan induk bola sepak dunia, Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 31 Ogos lepas.
Menurutnya, TFCSB sedang mengambil langkah berkaitan dan akan menyelesaikan perkara tersebut dalam tempoh 45 hari yang diberikan FIFA.
“TFCSB sentiasa berhubung dengan pemain dan ejennya. Untuk makluman TFC tidak pernah dikenakan sebarang tindakan serius oleh FIFA sebelum ini dan sentiasa mematuhi notis serta arahan yang diberikan,” katanya. – MalaysiaGazette