KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang pelajar institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) yang disyaki memukul dua individu menggunakan pengunci stereng kenderaan dalam kejadian di Dengkil, Sepang hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan GK. Shan Gopal berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan pada 12.17 tengah hari tadi yang mendakwa dia dan rakannya dipukul dan dicederakan oleh suspek warga tempatan.
“Siasatan mendapati sekitar jam 11.50 pagi tadi, pengadu bersama rakannya dipukul menggunakan pengunci stereng di atas jalanraya di pekan Dengkil, Sepang.
“Kejadian ini telah dirakam oleh orang awam dan ditularkan di media sosial.
“Polis mendapati mangsa membabitkan dua lelaki tempatan masing-masing mengalami kecederaan di kepala dan tangan dalam insiden itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis turut merampas satu pengunci stereng suspek berusia 20 tahun itu untuk mencederakan pengadu dan rakannya.
Katanya, motif kejadian adalah disebabkan tidak puas hati semasa suspek dan pengadu sedang memandu di kawasan Jalan Air Itam menuju ke Pekan Dengkil.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dari dua hukuman tersebut.- MalaysiaGazette