KUALA LUMPUR – Polis hari ini mengesahkan terdapat 12 Pusat Kuarantin Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) seperti didedahkan Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) baru-baru ini.
Ia rentetan dengan Op Global yang dilaksanakan polis sejak awal September lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan turut mendedahkan terdapat 10 pusat kuarantin di dalam negara manakala dua lagi pusat dikesan terletak di Indonesia dan Turkiye.
“Selain itu, siasatan lanjut ke atas 10 pusat kuarantin tersebut mendapati hanya tiga pusat kuarantin sahaja berjaya diserbu polis pada 21 September lepas manakala tujuh lagi pusat kuarantin didapati tidak beroperasi.
“Manakala tiga pusat kuarantin yang berjaya diserbu terletak Air Bintan, Kota Tinggi (Pusat Perniagaan & Ikhwan Resort), Labu Lanjut, Sepang dan Batu Hampar, Perak namun siasatan sehingga kini masih belum menunjukkan elemen-elemen lokasi tersebut dijadikan pusat kuarantin,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Razarudin turut ditanya tentang dakwaan kononnya ada anak-anak yang dipisahkan daripada keluarga tidak dibenarkan kembali kepada keluarga oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mengulas dakwaan itu, Razarudin berkata, sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001, pihak JKM merupakan agensi yang diberikan kuasa oleh mahkamah melalui perintah jagaan sementara untuk menempatkan kanak-kanak tersebut di bawah jagaan jabatan itu.
“JKM bertanggungjawab melindungi anak-anak itu apabila adanya aduan berlaku pengabaian, penderaan atau penganiayaan oleh ibubapa atau penjaga sehingga suatu siasatan menyeluruh dijalankan dan keputusan siasatan dibuat oleh pihak Peguam Negara.
“Manakala dalam kes Op Global ini, ibu bapa kepada kanak-kanak yang diselamatkan ini juga merupakan suspek yang disiasat dalam kes pengabaian,” ujarnya. – MalaysiaGazette