Gambar hiasan. Foto MALAYSIAGAZETTE.

BATU PAHAT – Seorang juruteknik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memukul isteri hamil selepas berang dengan hantaran media sosial wanita itu.

Tertuduh, Mohd Hasri Turaman, 40, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Suhail Shafi’uddin.

Mengikut pertuduhan, dia yang pernah menerima rawatan psikiatri tujuh tahun lalu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, 34, yang hamil tiga minggu di rumah di Taman Soga di sini pukul 1 pagi, pada 29 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya manakala Seksyen 326A, penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan atas sabitan mengikut Seksyen 323.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam Anis Nur Atikah Abd Rahman.

Mahkamah menetapkan 13 November untuk sebutan semula kes dan membenarkan bapa kepada tiga anak itu diikat jamin RM3,000 dan syarat tambahan, dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Berdasarkan laporan, sebelum kejadian, mangsa meminta wang RM20 daripada tertuduh kerana mahu pulang ke rumah ibunya di Skudai, Johor Bahru namun permintaan tidak diendahkan dan 20 panggilan telefon dibuat mangsa juga tidak dijawab.

Disebabkan itu, mangsa yang hamil tiga minggu didakwa memuat naik status dalam media sosial dan kemudian dibaca tertuduh sebelum tertuduh didakwa membelasah mangsa apabila tiba di rumah.

Mangsa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail di sini.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here