Seorang peniaga kedai makan mengaku tidak bersalah Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM18,000

JOHOR BAHRU – Seorang peniaga kedai makan mengaku tidak bersalah Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM18,000 kepada pegawai polis pad Jun lalu.

Tertuduh, Sioh Poh Keong, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memberi suapan iaitu wang tunai RM18,000 kepada Inspektor Risikan/Operasi, Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Johor sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya yang menyimpan minuman keras tidak bercukai kastam.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di Taman Air Biru, Pasir Gudang di sini pukul 2.30 petang pada 19 Jun lalu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin terdahulu menawarkan jaminan antara RM5,000 hingga RM10,000 dengan syarat tambahan pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di pejabat SPRM Johor.

Peguam K Bharathi dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah anak guamnya hanya memperoleh keuntungan RM4,000 sebulan hasil perniagaan kedai makan.

“Tertuduh juga menjaga kakaknya berusia 67 tahun yang baharu menjalani pembedahan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 serta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 10 November ini.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here