Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berucap pada Majlis Realisasi Rumah Mampi Milik Kluang di Taman Tasek, Kluang. Foto SADIQ SANI, 22 SEPTEMBER 2024

JOHOR BAHRU – Penyelarasan semula cuti hujung minggu di Johor kepada Sabtu dan Ahad mulai 1 Januari 2025 akan membabitkan 587,343 pelajar dan 1.948 juta tenaga kerja di Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjunjung kasih atas perkenan dan restu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi penukaran cuti hujung minggu tersebut.

Beliau juga menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas pengumuman penukaran cuti hujung minggu berkenaan.

Menurutnya, penyelarasan semula cuti hujung minggu di negeri Johor kepada Sabtu dan Ahad akan membabitkan semua Bangsa Johor.

“Ia terutamanya 587,343 pelajar dan 1.948 juta tenaga kerja di Johor di mana majoritinya adalah dari sektor kerajaan dan swasta.

“Titah perbincangan penyelarasan perubahan cuti hujung minggu ini akan menitikberatkan dan meliputi seluruh aspek termasuklah agama Islam tanpa mengetepikan penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari.

“Kerajaan Negeri bersama Mufti Negeri Johor dan agensi yang terlibat akan memperincikan waktu kerja yang sesuai terutamanya pada hari Jumaat bagi memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk umat Islam menunaikan solat Jumaat pada waktunya.

“Insya-Allah, tanpa mengetepikan kepentingan urusan solat, penyelarasan ini juga akan mengurangkan masalah penjadualan dalam kalangan sektor awam dan sektor swasta.

“Ini termasuk memberi ruang kepada keluarga untuk meluangkan masa bersama dan membantu memudahkan aktiviti rentas sempadan serta aktiviti perniagaan. Insya-Allah,” katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.

Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail menitahkan perkara tersebut kepada Onn Hafiz untuk dibincangkan.

Pada 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim menukar cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan Agama Islam sebagai agama rasmi Johor.

Perubahan itu sebelum ini sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat-Sabtu) yang telah dilaksanakan Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula tahun 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here