Norzaid Muhammad Said. Foto: FB Polis Marin

TUMPAT – Pasukan Polis Marin (PPM) merekodkan 1,336 kes penyeludupan barang kawalan seperti minyak masak, diesel dan tepung gandum dengan nilai rampasan dianggarkan RM193.4 juta bagi tempoh 2022 hingga September lepas di seluruh negara.

Komander PPM Bukit Aman, SAC Norzaid Muhammad Said berkata, kesemua kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata, setakat September tahun ini PPM merekodkan rampasan dengan anggaran nilai tertinggi iaitu RM82.3 juta, diikuti RM71.7 juta pada 2022 dan RM39.3 juta pada 2023.

“Dalam tempoh yang sama PPM Wilayah 3 Pengkalan Kubor telah merekodkan 506 kes dengan anggaran nilai rampasan hampir RM6 juta .

“Rampasan terbanyak (PPM Wilayah 3) ialah pada 2022 dengan anggaran nilai RM3.5 juta, diikuti RM1.03 juta pada dan RM1.4 juta setakat September lepas,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Kerjasama Strategik PPM Bersama Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Norzaid berkata, kerjasama antara agensi amat penting bagi memastikan pelaksanaan tindakan semasa operasi dan proses pendakwaan lebih berkesan terutamanya di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata, aspek penguatkuasaan dan kerjasama strategik dalam menangani isu ketirisan barang kawalan terutama di sempadan dan perairan negara perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin seiring dengan dasar penyasaran susbsidi oleh kerajaan.

Sementara itu, mengenai keberhasilan kes melibatkan kerjasama antara PPM dan KPDN sejak 2022 hingga September lepas beliau berkata sebanyak 127 kes direkodkan dengan nilaian rampasan hampir RM4 juta.

Norzaid berkata, operasi terbaru membabitkan PPM dan KPDN ialah pada 1 hingga 7 Okt lepas dengan lapan kes direkodkan melibatkan nilai rampasan sebanyak RM80,000 meliputi 1,675 liter petrol, 850 kilogram minyak masak dan lapan kenderaan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast