Tular seorang lelaki membasuh kuali menggunakan air longkang.

SHAH ALAM- Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjelaskan video tular memaparkan seorang peniaga membasuh kuali dipercayai menggunakan air longkang tidak berlaku di kawasan pentadbirannya.

MBSA dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan susulan itu, tindakan segera diambil dengan mengenal pasti lokasi gerai dan semakan mendapati gerai berkenaan bukan berada di bawah kawasan pentadbiran pihaknya.

“Pihak MBSA ingin menasihati orang ramai untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tidak sahih dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu kerana ia menjejaskan imej MBSA,” menurut kenyataan itu.

MBSA turut mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap para pengendali makanan yang tidak mematuhi peraturan kebersihan mengikut Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan (Majlis Bandaraya Shah Alam) 2007.

Orang ramai juga diminta mengemukakan aduan kepada pihak MBSA melalui sistem pengurusan aduan awam SISPA jika terdapat pengendali dan premis makanan yang tidak menjaga kebersihan.

Semalam, tular di media sosial rakaman video yang menunjukkan seorang peniaga roti canai membasuh kuali dipercayai menggunakan air longkang sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here