“SAYA tidak mewakili pendapat yang mahu mengurangkan (penguasaan) bahasa Inggeris, tetapi saya juga tidak mewakili sikap yang mempunyai fobia terhadap bahasa sendiri.”
Itulah ungkapan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Ipoh baru-baru ini.
Nasihat dan teguran Perdana Menteri harus dinilai secara lebih positif dan bukannya mengundang perdebatan. Apabila kita merujuk kepada identiti rakyat sesebuah negara, sudah tentu penguasaan bahasa ibunda mencerminkan budaya bangsa.
Usah dibangkitkan perbalahan bahasa mana yang lebih sinonim atau relevan dalam penggunaannya secara global. Apa yang wajar dipertimbangkan di sini adalah sekiranya kita tidak memartabatkan bahasa ibunda, bagaimana hendak kuatkan sifat jati diri kebangsaan?
Penguasaan bahasa bukan sekadar untuk berkomunikasi tetapi di samping meraikan kepelbagaian di samping mewujudkan satu sifat kebersamaan yang dapat dipupuk dalam masyarakat. Jika kita hendak menggembleng tenaga bagi membangunkan negara, jurang kesefahaman harus ditangani terlebih dahulu.
Pengalaman saya mempelajari bahasa Mandarin sedikit sebanyak telah memberi impak kepada persepsi dan pemikiran kerana dipengaruhi struktur bahasa, sebagaimana disebut di dalam Hipotesis Sapir-Whorf. Sebagai contoh, sekiranya seseorang bertanyakan hari di dalam bahasa Mandarin, jika hari Isnin maka secara literal dipanggil hari satu. Tidak hairan mengapa anggapan orang cina pandai matematik kerana harus selalu mengira!
Ketika saya pernah menjadi wartawan di sebuah akhbar bahasa Inggeris, editor pula sering berpesan untuk tidak menggunakan bahasa yang terlalu sofistikated. Tujuannya kalau ada menggunakan surat khabar untuk belajar menguasai BI masih boleh memahami dengan merujuk kamus. Tapi kalau banyak sangat perkataan yang perlu dirujuk kamus, pembaca yang mahir dalam BI juga akan pening memahami konteks penulis. Mujurlah kita sekarang ada Artificial Intelligence sebagai pemudah cara.
Jika kita hendak menjadi ejen perubahan dalam sesebuah negara, pemikiran lebih positif untuk menghadapi segala cabaran amat penting. Seorang pemimpin harus lebih matang dalam penggunaan bahasanya bagi menjernihkan keadaan semasa. Apa gunanya jika rakyat Malaysia yang duduk di kejiranan yang maju dan kaya, tetapi tiada sifat kemasyarakatan sehingga lambat membantu jiran yang ditimpa musibah. Sebagaimana juga kalau duduk di desa, pergi ke kenduri dan rumah ibadah tetapi tidak mahu bersembang untuk mengenali satu sama lain.
Hendak seribu daya tak nak seribu dalih. Reformasi adalah satu proses berterusan dan jurang ekonomi pada hari ini diwarisi daripada polisi yang bersifat ‘unfair wealth distribution’ dan bukannya ‘wealth creation for the masses’. Marilah kita mulakan dengan menjemput pemimpin-pemimpin kita berbahasa secara lebih beradab melalui teladan.
Aidi Amin Yazid
Pengerusi Pertubuhan Jaringan Insan Madani
















