NIBONG TEBAL – Seorang gadis berusia 19 tahun maut dalam kemalangan selepas kereta dipandunya terbabas sebelum bertembung dengan sebuah lori membawa muatan tanah di Jalan Wellesley, Sungai Bakap di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi, mangsa, Nurul Izzati Ahmad memandu kereta Nissan Almera itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Chong Boo Khim berkata, siasatan mendapati kereta dipandu mangsa terbabas di selekoh jalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Kereta dipandu mangsa memasuki laluan bertentangan menyebabkan pemandu lori tidak sempat mengelak lalu masing-masing bertembung,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Difahamkan, mangsa datang dari Kedah manakala pemandu lori tersebut dari arah Sungai Baong menghala ke Batu Kawan.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Sehubungan itu, Boo Khim meminta orang awam atau saksi yang menyaksikan kemalangan tersebut menghubungi balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Atiqah Arshad di talian 017 504 5054 untuk membantu siasatan.
















