Tangkap layar video tular menunjukkan suspek kereta Vios melanggar mangsa sambil ahli keluarganya cuba menghalang tindakan suspek dalam insiden di Shah Alam pada 6 Oktober lalu.- Gambar ihsan IPD Shah Alam.

KUALA LUMPUR – Seorang suspek lelaki diberkas polis kerana disyaki membuli serta melanggar seorang pengguna jalan raya sehingga menyebabkan kecederaan di kakinya di Shah Alam baru-baru ini.

Kejadian itu berlaku selepas suspek tidak puas hati laluannya dihalang kenderaan mangsa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pada 6 Oktober lalu, lebih kurang 10.28 malam, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun yang menjadi mangsa kejadian di tepi Jalan Persiaran Kayangan berhampiran Hentian Bas Seksyen 10.

Katanya, mangsa berusia 49 tahun yang bekerja sebagai jurulatih kapal laut menyatakan dalam aduan dia telah dilanggar oleh pembuli jalan.

“Siasatan mendapati, kejadian berlaku pada 6 Oktober lalu jam lebih kurang 9.45 malam yang mana semasa mangsa memandu kereta jenis Volkswagen untuk pulang ke rumah bersama isteri dan anak perempuannya, tiba-tiba telah didatangi sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu suspek secara melulu dan terus menghimpit kenderaannya.

“Suspek juga bertindak  memberhentikan keretanya di belakang kereta mangsa dan kemudian datang ke arah kereta mangsa dan mengetuk cermin tingkap sebelah pemandu selain cuba menarik anak kunci kereta mangsa namun gagal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Iqbal, semasa mangsa keluar dari kereta telah berlaku pertengkaran mulut antaranya dengan suspek tersebut.

“Suspek kemudian masuk semula ke dalam keretanya dan cuba melanggar mangsa sebanyak dua kali tetapi kali pertama berjaya dielak namun kali kedua mangsa telah dilanggar sehingga terjatuh menyebabkan kaki kanan mangsa digilis dengan tayar kereta suspek.

“Suspek kemudian terus memecut laju melarikan diri daripada lokasi kejadian tersebut,” ujarnya.

Tegas Mohd Iqbal lagi, dalam kejadian itu mangsa mengalami kecederaan keretakan kecil di kaki kanan dan telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Shah Alam.

Bertindak atas aduan dan maklumat risikan, polis berjaya membuat tangkapan ke atas suspek di  Meru, Klang dan merampas sebuah kereta jenis Vios yang dipandu suspek semasa kejadian tersebut.

Kata Mohd Iqbal, siasatan lanjut polis mendapati motif kejadian adalah suspek tidak puas hati selepas keretanya dihalang kereta mangsa semasa keretanya hendak ke susur kiri dari arah bulatan kayangan Seksyen 10 menghala ke Seksyen 7, Shah Alam.

“Siasatan mendapati suspek berusia 29 tahun dan bekerja sebagai penjual komponen kenderaan manakala semakan mengesahkan suspek positif dadah jenis Benzo.

“Suspek akan direman bermula hari ini untuk membantu siasatan lanjut polis di Bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan juga denda jika disabitkan kesalahan.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 jika disabitkan dengan kesalahan,” katanya.

Polis meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Asisten Superintendan Md Anuar Amilah di talian 019-225 5597.

Terdahulu satu video tular berdurasi satu minit 56 saat memaparkan berlakunya pertengkaran mulut antara pemandu kedua-dua kenderaan itu dan ahli keluarganya dilihat untuk meredakan keadaan.

Tiba-tiba pemandu kereta Vios warga biru itu dilihat bertindak agresif menekan minyak kuat sebelum melanggar mangsa sehingga terjatuh sambil ahli keluarganya terdiri dari dua wanita membantu mangsa.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast