Dzulkefly bercakap pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya diperlukan berhubung kemalangan maut membabitkan tiga pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Dungun, Terengganu, malam tadi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata,  pihaknya sedia membantu daripada segi kepakaran yang diperlukan kepada pihak berkuasa berkenaan.

“Kita sedia membantu dari aspek pandangan teknikal dan perubatan berdasarkan bukti dalam siasatan yang dijalankan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Dzulkefly enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut kerana insiden itu dalam siasatan pihak berkuasa.

Terdahulu media melaporkan, tiga penuntut UiTM Cawangan Dungun maut, manakala seorang dilaporkan kritikal, selepas dirempuh sebuah SUV.

Kejadian berlaku berhampiran universiti itu kira-kira jam 8 malam tadi.

Menurut sumber awam, kereta dipandu wanita tersebut merempuh dua motosikal dan dua pejalan kaki.

Ketika kejadian, mangsa yang menaiki motosikal pulang dari aktiviti riadah petang.

SUV yang merempuh mangsa dipandu seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an, dikatakan mengalami masalah mental.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Khairil Anwar Jamaludin, Ku Adib Aizad Ku Azmi, masing- masing berusia 20 tahun dan Mohd Akmal Tukirin, 25 tahun.

Ketiga-tiga mereka merupakan pelajar dari Fakulti Perakaunan

Mangsa yang parah pula dikenali sebagai Amar Danish Mohd Ridwan, 20 tahun.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Daerah Dungun dan mangsa yang parah, dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast