Mohd Shuhaily Mohd Zain

KUALA LUMPUR – Ops Global yang dilancarkan pada 11 September lalu  telah menyelamatkan seramai 625 orang mangsa termasuk kanak-kanak dari pusat Amal yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua mangsa yang diselamatkan berusia lingkungan antara 2 bulan hingga 28 tahun.

“Daripada angka itu, seramai 553 orang mangsa ini masih ditempatkan di 13 pusat perlindungan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala 72 orang lagi telah diserahkan kepada ahli keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sidang media perkembangan terkini siasatan terhadap Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) menerusi Op Global di Mess Pegawai Kanan Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak petang hari ini.

Ditanya bagaimana polis menjamin keselamatan kanak-kanak yang berada di bawah jagaan keluarga dipercayai ahli GISBH, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya sangat yakin  keupayaan JKM yang mempunyai prosedur operasi standard (SOP) bagi meneliti keadaan keluarga mangsa.

“Prosedur JKM sangat ketat, mereka tidak akan membenarkan sesiapa untuk mengambil anak mereka dengan begitu mudah tanpa melalui proses penilaian yang amat ketat,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, sepanjang operasi ini dilaksanakan, PDRM telah membuka sejumlah 97 kertas siasatan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk satu kertas siasatan jenayah terancang di Bawah Seksyen 130v Kanun Keseksaan dan satu kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 12 kertas siasatan melibatkan sembilan
individu telah dituduh dengan 34 pertuduhan iaitu 20 pertuduhan bagi Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017; 9 pertuduhan bagi Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001; 3 pertuduhan bagi Seksyen 14(b) Akta
Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017; satu pertuduhan bagi Seksyen 354 Kanun Keseksaan; dan satu pertuduhan bagi Seksyen 506 Kanun
Keseksaan.

“Sejumlah empat kertas siasatan juga telah diberikan arahan tuduh oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) dan akan dituduh dalam masa terdekat iaitu dua kertas siasatan di bawah Seksyen 12 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007; satu kertas siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017; dan satu lagi kertas siasatan di bawah Seksyen 5(1) Akta Pusat Jagaan 1993,” ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast