Dzulkefly bercakap pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan, di Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Sebanyak 336 kes daripada 59,860 panggilan yang diterima Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental (Talian Heal) membabitkan kecenderungan membunuh diri.

Ia berdasarkan statistik sejak talian itu diaktifkan pada 2022 hingga semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebanyak 198 daripada jumlah kes itu, membabitkan idea atau pemikiran untuk membunuh diri.

Menurutnya, sebanyak 138 kes lagi adalah berkaitan cubaan membunuh diri.

“Kita dapati yang (panggilan) idea untuk membunuh diri ini iaitu 198 kes, dia memang menghitung-hitung (untuk membunuh diri).

“Ini kita perlu intervensi segera dan kenal pasti (isu) supaya kita dapat mengelakkan mereka daripada melakukan (bunuh diri) itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, sebanyak 59 peratus atau 35,590 daripada jumlah keseluruhan panggilan diterima Talian Heal, memerlukan sokongan emosi.

Jelas beliau, sebanyak 24,270 panggilan memerlukan intervensi khusus membabitkan ‘psiko pendidikan positif’ berkaitan mengurus dan kaunseling. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast