Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Institut Jantung Negara (IJN) perlu mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan berhubung permohonan untuk menaikkan yuran antara 10 hingga 40 peratus terhadap pesakitnya.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, ini kerana IJN berada di bawah bidang kuasa kementerian tersebut.

Beliau bagaimanapun berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperhalusi perkara tersebut kerana sebarang kenaikan akan turut memberi kesan kepada pesakit yang dirujuk oleh KKM ke institusi kesihatan itu.

“Kita tidak dapat mempengaruhi yuran yang dikenakan kerana IJN bukan di bawah KKM.

“IJN adalah di bawah Kementerian Kewangan namun KKM adalah  klien kepada IJN.

“Apa yang berlaku ketika ini adalah keputusan daripada pihak IJN. Kita akan berbincang dan juga akan memperhalusi apakah punca peningkatan kos atau fi yang mereka kenakan kepada pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024, di Parlimen di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif IJN yang baharu, Prof. Dr. Ezani Md Taib dilaporkan berkata, pihaknya memohon kenaikan yuran kepada pesakitnya sehingga 40 peratus.

Beliau berkata, kajian semula terhadap struktur bayaran juga perlu dilaksanakan kerana ia tidak berubah sejak 21 tahun yang lalu dengan mengambil kira inflasi serta peningkatan kos.

Menurutnya lagi, kos penjagaan kesihatan telah meningkat tetapi IJN masih mengenakan kos asal kepada kerajaan yang ditetapkan pada 2003. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here