KUANTAN – Kerajaan diharap tidak meminggirkan golongan belia yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Pelajar jurusan Pemasaran dan Pengiklanan Digital, Muhammad Khairul Anam Noor Azizi, 24 berkata, meskipun banyak peruntukan disediakan untuk pelajar kurang berkemampuan sebelum ini, namun dia mengakui ada antara rakannya yang masih tercicir.

Justeru, dalam Belanjawan 2025 kali ini, dia berharap agar kerajaan dapat mewujudkan mekasnisme baharu seperti pendaftaran secara automatik bagi golongan tersebut.

“Kita tak kata mereka tersisih, tapi mereka sebelum ini tak dapat merasa peruntukan dalam belanjawan yang dibentangkan tu. Ada juga yang tak tahu.

“Apabila masuk ke universiti, tahu-tahu ada yang dah dapat peranti siswa. Jadi saya harap belanjawan nanti, rakan-rakan saya yang kurang berkemampuan ni akan dapat  apa yang diperuntukkan kepada mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Muhammad Khairul Anam Noor Azizi

Justeru, dia berharap kerajaan tidak terlepas pandang golongan belia yang kurang berkemampuan ini dalam Belanjawan kali ini.

Sementara itu, Wan Nurol Afiza Abdullah, 23 pula mengharapkan agar peruntukan dari segi kemudahan infrastruktur di institut pengajian tinggi dapat ditambah baik dalam Belanjawan 2025 nanti.

“Selain itu, bagi saya, kos pembelajaran sekarang agak mahal. Nak beli barang tu sesuatu yang penting, tapi tengok harga.. mahalnya.

“Kalau boleh, berilah kemudahan percuma kepada pelajar ke, untuk guna alatan yang penting,” katanya yang juga pelajar jurusan Pemasaran dan Pengiklanan Digital.

Wan Nurol Afiza Abdullah

Katanya, sebelum ini, kerajaan telah memperuntukkan bantuan seperti komputer riba dan tablet.

Namun, sebagai pelajar yang banyak menggunakan peranti berkaitan media, dia juga berharap agar kerajaan dapat mempertimbang pemberian peranti lain yang lebih khusus seperti kamera.

Pelajar jurusan sama, Wan Muhamad Nasran Shahandzir, 26 pula mendedahkan dia terpaksa membayar langganan bagi perisian komputer kira-kira RM50 sehingga RM70 sebulan.

Katanya, ia merupakan salah satu keperluan dalam proses pembelajaran kursus yang didudukinya itu, namun meluahkan agak terbeban dengan jumlah tersebut ditambah dengan kos sara hidup.

Wan Muhamad Nasran Shahandzir

“Kalau boleh untuk belanjawan kali ini dapat diberikan peruntukan buat kami pelajar ini untuk muat turun secara percuma atau sekurangnya bayaran separuh ke.

“Kami harap adalah juga bahagian untuk kami pelajar digital ni untuk memudahkan urusan pembelajaran kami sampai habis belajar,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast