KUALA LUMPUR- Seorang penghantar makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan IS.
Radin Romyullah Radin Imran, 34, yang juga abang sulung kepada penyerang Balai Polis Ulu Tiram sehingga mengakibatkan kematian dua anggota polis, dan seorang lagi cedera membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim K Muniady, hari ini.
Dalam pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memberi sokongan dengan cara berbaiah kepada pemimpin kumpulan militan aitu Abu Bakar Al-Baghdadi di sebuah rumah di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru, Johor pada penghujung 2014.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 40 tahun atau denda, dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.