Tali pita dipasang polis bagi menghalang pemilik rumah yang terletak berhampiran tanah runtuh di Jalan E6 pulang ke rumah. Foto SADIQ SANI, 16 OKTOBER 2024

AMPANG – Penduduk di Jalan E6, Taman Melawati yang terbabit dalam insiden runtuhan tanah pagi semalam masih tidak dibenarkan lagi pulang ke rumah masing-masing, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, arahan itu dikeluarkan sehingga kerja-kerja pembaikan cerun selesai di kawasan kejadian.

“Ketika ini, pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sedang giat melaksanakan kerja-kerja mitigasi dan pembaikan cerun di Jalan G2 dan Jalan Serdang, Taman Melawati.

“Para penduduk di jalan E6 Taman Melawati yang terkesan dengan insiden ini belum lagi dapat dibenarkan untuk pulang ke rumah masing-masing sehingga kerja2 pembaikan cerun selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Azam, satu mesyuarat penyelarasan antara agensi telah selesai dijalankan yang dipengerusikan beliau melibatkan beberapa agensi lain

Antara agensi yang terlibat adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Datuk Zamri Ramli , Pejabat Daerah Gombak serta MPAJ

Selain itu, turut disertai Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (CKC JKR), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Penerangan (JAPEN).

“Pihak JMG telah membentangkan dapatan kajian dan siasatan yan telah dibuat pada hari ini dengan kerjasama CKC JKR dan dapatan diperoleh adalah tiada lagi pergerakkan tanah dikesan.

“Malah pandangan serta nasihat teknikal juga telah diberikan kepada agensi terlibat bagi urusan pembaikan cerun demi keselamatan umum terpelihara,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden tersebut dan memberi ruang pada pihak berkuasa untuk melaksanakan kerja- kerja pembaikan.

Terdahulu, tinjauan MalaysiaGazette di lokasi kejadian secara dekat mendapati, pemasangan kanvas yang berkeluasan 30×20 meter hampir siap dipasag di kawasan cerun runtuhan.

Selain itu, pihak MPAJ juga sedang melakukan pembersihan kesan lumpur akibat tanah runtuh dengan menembak air di atas jalan sebelum dibuka kepada penduduk sekitar.

Semalam, hujan lebat sejak awal pagi telah mengakibatkan kejadian tanah runtuh setinggi 30 meter di Jalan E6, Taman Melawati, di sini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima maklumat tersebut sekitar pukul 11.42 pagi tadi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here