KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) dan penyasaran subsidi petrol RON95 yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 tidak mempunyai perincian dan maklum yang lebih lanjut.
Wakil pembangkang Perikatan Nasional, Datuk Radzi Jidin berkata, pihaknya kecewa kerana sepatutnya kerajaan menerangkan peningkatan hasil yang akan diperolehi kerajaan dalam belanjawan itu.
Ahli Parlimen Putrajaya itu juga mempersoalkan berapa jumlah SST yang dikenakan sekaligus memberikan keadaan tidak pasti terutama kepada pelabur.
“Saya bagi contoh SST akan ditingkatkan bagi skop tertentu dan akan diperluaskan skopnya. Tapi di mana perinciannya? Jadi kalau kita sediakan bajet tanpa perincian, berapa sebenarnya hasil yang akan dikutip oleh kerajaan daripada peluasan skop SST?
“Berapa peratus yang akan dinaikkan dari STT? Bidang mana yang akan dikenakan STT jadi perincian ini tidak ada. Dalam konteks percukaian khususnya SST, perkara ini berlaku dalam Bajet 2024 yang lalu, pembangkang telah bangkitkan berkaitan ralat dalam buku bajet khususnya berkaitan dengan hasil kerajaan daripada SST ini,” katanya di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Radzi menambah, sebagai pelabur dan pemain industri, mereka memerlukan kepastian dalam ekonomi dan tidak boleh diletakkan dalam keadaan tertanya-tanya.
Beliau berkata, ini kerana golongan itu tidak boleh berada dalam keadaan tidak ketentuan supaya mereka dapat menyediakan belanjawan mereka juga untuk tahun 2025.
“Banyak mana naik SST? Kita tidak mahu seperti mana tahun 2024 ini apabila SST untuk sektor logistik sebagai contoh daripada kosong diperluaskan kepada sektor logistik naik hingga enam peratus, maka kesan bertingkat dalam sektor logistik ini cukup besar dan kesannya masih ada sehingga ke hari ini.
“Jadi sebab itu adalah amat penting kerajaan perlu beri perincian. Jadi sekurang-kurangnya di luar sana bukan sahaja rakyat umum tetapi mereka yang terlibat dalam bidang industri mengetahuinya dengan lebih lanjut.
“Yang kedua, sebagai contoh kedua saya bagi contoh adalah berkaitan dengan subsidi bersasar bagi petrol disebut bahawa akan dilaksanakan subsidi bersasar bagi petrol tapi tidak ada nyatakan perinciannya,” katanya.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2025 bertemakan ‘Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’.
Ia belanjawan ketiga oleh kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.
Belanjawan 2025 memperuntukan RM421 bilion merangkumi 20.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), dengan RM335 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM86 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Perdana Menteri berkata, hasil Kerajaan Persekutuan dianggar meningkat 5.5 peratus kepada RM339.7 bilion seiring dengan prospek ekonomi 2025 yang dijangka lebih baik, dengan defisit fiskal diunjur pada 3.8 peratus, manakala inflasi di antara dua peratus hingga 3.5 peratus. – MalaysiaGazette