Kumarasan menunjukkan wang tunai yang dirampas dalam Op Dadu, selepas sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri, hari ini

ISKANDAR PUTERI – Pasangan kekasih antara 19 warganegara asing yang ditahan dalam Op Dadu di sebuah premis di Taman Nusa Bestari, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri melakukan serbuan pukul 3 pagi.

“Hasil serbuan berjaya menahan sembilan lelaki dan 10 wanita warga asing berusia lingkungan 24 hingga 55 tahun. Ini termasuk pasangan kekasih yang merupakan dalang kegiatan judi ini.

“Mereka dipercayai menjalankan kegiatan judi jenis black jack di tingkat atas bangunan premis tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri, di sini, hari ini.

Katanya, semasa serbuan seorang daripada suspek cuba melarikan diri dengan terjun dari tingkap bahagian belakang premis tersebut.

Suspek itu katanya, mengalami kecederaan retak di bahagian buku lali kaki kiri sebelum berjaya diberkas dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HAS) Johor Bahru untuk rawatan.

Dalam serbuan berkenaan katanya, pihak polis merampas kad daun terup dan wang tunai hasil pertaruhan berjumlah RM52,808.

Menurutnya, suspek yang ditahan itu sebahagian bekerja di kilang, kedai makan dan kawasan pembinaan di kawasan sekitar daerah ini.

“Kita masih menyiasat sama ada mereka semuanya mempunyai permit kerja dan dokumen yang sah. Semua suspek tidak memiliki sebarang rekod lampau,” katanya.

Kumpulan itu katanya, baru seminggu menjalankan kegiatan judi di premis rumah kedai dua tingkat itu bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Kumarasan berkata, kes disiasat bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu berjudi di sebuah rumah judi terbuka, jika sabit kesalahan boleh didenda hingga RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Mereka juga katanya, boeh disiasat bawah Seksyen 6(1)(1) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

Tegasnya, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tiga bulan hingga dua tahun dan maksimum tiga kali sebutan.

Tambah beliau, permohonan reman terhadap semua suspek dilakukan selama empat hari sehingga 24 Oktober ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here