Gambar hiasan.

BAYAN LEPAS – Seorang pekerja tapak pembinaan maut selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah bangunan dalam pembinaan di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, mangsa warga asing itu dilapor mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, mangsa merupakan pekerja kontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja mengecat dan memasang plaster.

“Mangsa dilaporkan terjatuh dari tingkat lapan semasa sedang melompat keluar dari kelengkapan akses gantung jenis sementara (gondola) ke tingkap di tingkat lapan sebelum jatuh ke bawah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Notis pemberhentian serta merta ke atas penggunaan kelengkapan akses gantung jenis sementara bagi kerja di tempat tinggi di tapak pembinaan terbabit dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya, hari ini.

Tambah kenyataan itu, JKPP juga mengarahkan majikan menjalankan siasatan dalaman untuk mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes.

“Siasatan susulan akan dijalankan dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan rakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi yang dikenal pasti selain lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil.

Adalah menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 bagi memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

“JKKP Pulau Pinang memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor selain sentiasa komited bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here