BUTTERWORTH – Seorang pengawal yang baru selesai menjalani hukuman penjara atas kesalahan menyimpan bahagian kambing gurun tahun lalu, sekali lagi dihukum penjara atas kesalahan sama oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Hakim, Nor Azah Kasran menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM100,000 terhadap Karim Mat Yusoff, 52, atas kesalahan menyimpan kepala dan bahagian kambing gurun tanpa permit khas, pada 2019.

Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada lapan cahaya mata itu dipenjara tujuh bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menyimpan empat bahagian kaki, dua bahagian kuku dan satu bahagian kepala Kambing Gurun (capricornis sumatraensis) iaitu hidupan liar dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] tanpa permit khas.

Tertuduh tidak membayar denda dan perlu menjalani hukuman penjara selama tujuh bulan secara berasingan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pasar Pagi Penaga dalam daerah Seberang Perai Utara, di sini, jam 12 tengah hari pada 7 April 2019.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 68(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] yang mana jika sabit kesalahan denda minimum RM100,000 dan tidak lebih RM500,000 dan dipenjara tidak lebih lima tahun.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perhilitan Pulau Pinang, Nadzatul Nattasha Mustapa Kamal meminta hukuman setimpal atas faktor kambing gurun merupakan haiwan yang terancam dan semakin pupus disebabkan pemburuan haram selain menjadi pengajaran kepada orang lain untuk tidak melakukan kesalahan sama.

Bagaimanapun, peguam, S.Sagthiyaraj dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan lelaki itu bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan bulanan RM1,500 perlu menyara lapan anak termasuk enam daripadanya masih bersekolah.

Tertuduh tidak membayar denda tersebut. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here