JOHOR BAHRU – Seramai 10 suspek warga tempatan direman seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penculikan seorang ahli perniagaan di daerah ini, 13 Oktober lalu.
Turut ditahan reman ialah seorang suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang ditahan di kawasan Senai, semalam.
Perintah reman terhadap semua suspek itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nor Farhana Mohd Ishak, pagi tadi.
Tahanan direman sehingga 5 November ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap kesemua suspek mengikut Akta Penculikan 1962.
Suspek yang berusia lingkungan 30 hingga 50-an itu sebelum ini telah ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, pihaknya telah menahan 13 individu berusia 23 hingga 58 tahun itu dalam beberapa siri tangkapan di sekitar negeri ini.
Beliau berkata, salah seorang daripada yang ditahan itu merupakan ahli keluarga mangsa.
“Daripada 10 lelaki itu, lapan merupakan warga tempatan dan dua lelaki warga asing manakala tiga wanita itu melibatkan dua wanita tempatan serta seorang wanita warga asing,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang ahli perniagaan diculik oleh beberapa lelaki dalam kejadian di daerah ini sebelum dipercayai dibebaskan selepas wang tebusan dibayar.
Memetik laporan akhbar sebelum ini, peniaga berkenaan, 59, ketika itu dijadualkan untuk ke luar negara bagi urusan perniagaannya sebelum dilarikan pukul 5 pagi 13 Otkober lalu.
Difahamkan keluarga ahli perniagaan itu mendakwa terpaksa membayar RM20 juta bagi tujuan membebaskan mangsa.- MalaysiaGazette
















