BALING – Seorang pemandu teksi melecur termasuk di muka selepas kereta yang dipandunya terbakar dalam kejadian di Kampung Batu 4, Kuala Ketil, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar berkata, kejadian berlaku jam 11.45 pagi ketika mangsa, Zulkaria Isa, 50, sedang memandu teksi tersebut dari arah Sungai Petani ke Baling.
“Hasil temu bual mendapati mangsa melihat kepulan asap keluar melalui bonet kereta sebelum dia menghentikan kenderaan di tepi jalan.
“Susulan itu, dia membuka bonet sebelum mendapati api menyambar bahagian enjin kereta.
“Impak kejadian itu menyebabkan mangsa melecur di bahagian jari, tangan dan muka sebelum dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani oleh keluarganya untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, kebakaran tersebut dipadamkan oleh anggota Bomba Sukarela Kuala Ketil dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette