KUALA LUMPUR- Rang Undang-undang (RUU) Tahanan Rumah akan hanya dilaksanakan oleh mahkamah ke atas individu yang ditahan reman.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, cadangan itu akan termaktub kepada tahanan yang berada di penjara tetapi masih belum disabitkan kesalahan oleh mahkamah.
“Apabila reman, mereka yang ditahan di penjara akan dibawa ke mahkamah, jumlah mereka melibatkan 28,000. Selain itu, kita mengambil kira kapasiti penjara Malaysia hanya 74,156 orang sahaja.
“Jadi ini sasaran KDN. Kalau ada tahanan rumah ini dibuat, hasrat KDN untuk memberikan kuasa kepada mahkamah menimbang dan memerintahkan mana-mana individu terbabit ditahan reman di rumah.
“Tahanan (di rumah ini) akan pakai alat pengesan khas sehingga tarikh perbicaraan,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata demikian dalam sesi penggulungan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, hari ini.
RUU Tahanan Rumah mendapat perhatian ramai apabila terdapat kebimbangan dalam kalangan aktivis bahawa ia akan digunakan untuk mengeluarkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dari penjara.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, semua penjara di negara ini mengalami kepadatan melampau dan cadangan RUU ini adalah langkah kondusif bagi mengatasi masalah tersebut.
“KDN telah mendapat persetujuan Jemaah Menteri untuk mewujudkan undang-undang Akta Tahanan Rumah.
“Secara dasar kita sudah dapat kelulusan Jemaah Menteri, seterusnya KDN akan bincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk menbangunkan matrix kerangka apakah maksud akta tahaan rumah ini,” katanya lagi.
Tambah Saifuddin, ada beberapa kategori kesalahan yang tidak layak untuk mendapatkan tahanan rumah.
Antaranya kesalahan hukuman mati, penjara seumur hidup dan kesalahan pemerdagangan manusia.
Sebelum ini, Jabatan Penjara Malaysia berkata sebanyak 19 daripada 43 penjara mengalami kapasiti melebihi 20 peratus, terutamanya di bandar-bandar besar. – MalaysiaGazette