Malaysia menjadi tuan rumah Festival Asia 2024 selain penyertaan Palestin, Pakistan, China, dan Indonesia.

KUALA LUMPUR – Lebih 8,000 pengunjung hadir memeriahkan Festival Asia 2024 anjuran Yayasan Gemilang yang julung kali diadakan di Lanai MaTIC, Jalan Ampang yang berakhir hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gemilang, Safia Jamil berkata, program tersebut merupakan peluang untuk pengunjung menyelami keunikan dan kekayaan pelbagai budaya Asia.

Acara yang bertemakan Warna Warni Asia (Colors of Asia) dianjurkan sebagai penghormatan kepada warisan budaya pelbagai negara di benua Asia dengan penyertaan
daripada Malaysia sebagai tuan rumah selain Palestin, Pakistan, China, dan Indonesia.

Menurut beliau, acara yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan serta kerjasama badan-badan kebudayaan dan kedutaan-kedutaan asing.

“Penganjuran Festival Asia 2024 bukan sahaja bertujuan memperkenalkan budaya Asia kepada rakyat Malaysia dan pelancong antarabangsa tetapi juga menjadi medium penting untuk membina jambatan kefahaman antara pelbagai masyarakat di rantau ini.

“Festival ini diharapkan dapat memupuk semangat perpaduan, meningkatkan penghargaan terhadap kepelbagaian, dan mengukuhkan kerjasama antara negara-negara Asia dalam usaha memelihara dan mempromosikan warisan budaya bersama.

“Saya juga berharap program ini bakal menjadi acara tahunan dalam usaha menjadikan ia medium bertukar idea, pengalaman, dan kerjasama budaya yang positif antara negara-negara Asia,” katanya dalam satu kenyataan.

Festival Asia 2024 merupakan peluang untuk pengunjung menyelami keunikan dan kekayaan budaya Asia yang pelbagai.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Wilayah Tengah Tourism Malaysia, Sufian Zainuddin berkata, festival itu bukan sekadar pameran seni dan budaya tetapi sebuah platform unik di mana pengunjung dapat menghayati pelbagai warisan budaya dalam suasana yang menyeluruh.

“Setiap negara yang terbabit akan mempamerkan identiti unik mereka melalui persembahan tarian, muzik tradisional, demonstrasi seni, serta hidangan autentik.

“Ini menjadikan festival berkenaan satu pengalaman lengkap dan bermakna buat semua dan saya juga berharap festival ini dapat menarik lebih ramai pelancong luar negara yang berada di negara ini untuk hadir,” katanya.

Dalam pada itu, 0rang ramai yang hadir turut memeriahkan acara di samping berinteraksi dengan wakil-wakil budaya dari pelbagai negara, sekaligus mencipta peluang untuk memahami budaya Asia yang pelbagai, hasil pengaruh sejarah dan geografi yang panjang dan kompleks. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here