KUALA LUMPUR – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) melakar sejarah apabila terpilih sebagai satu-satunya institut penyelidikan luar negara yang dijemput membentangkan kajian pada Persidangan Penyelidikan Stres ke-20 anjuran Pusat Penyelidikan Stres Copenhagen di Universiti Copenhagen, Denmark baru-baru ini.

Pembentangan NIOSH dalam persidangan yang menghimpunkan pakar-pakar kesihatan mental dari seluruh dunia pada 7 November lalu membuktikan pengiktirafan antarabangsa terhadap sumbangan Malaysia dalam penyelidikan terapi kesihatan mental.

Delegasi NIOSH diketuai oleh Pengarah Eksekutif, Ayop Salleh dan Pakar Teknikal Siti Nurani Hassan yang membentangkan kajian bertajuk “Elektroensefalografi (EEG) dan Variabiliti Kadar Jantung (HRV) Dalam Reaksi Terhadap Pelbagai Terapi Kesihatan Mental” (Electroencephalography (EEG) and Heart Rate Variability (HRV) Reactions Across Various Mental Health Therapies).

Penyelidikan tersebut dibuat dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi menyokong usaha kerajaan Malaysia kesejahteraan mental di tempat kerja.

NIOSH menerusi kenyataan berkata, berdasarkan tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan sejuta atau 4.6 peratus penduduk Malaysia berusia lebih 15 tahun mengalami kemurungan.

“Penyelidikan NIOSH yang dibentangkan di persidangan di Copenhagen tersebut menunjukkan tindak balas fisiologi terhadap terapi kesihatan mental menggunakan dua biomarker utama iaitu EEG (aktiviti elektrik otak) dan HRV (variabiliti kadar jantung) bagi memahami hubungan minda dan tubuh serta menunjukkan bagaimana terapi yang berbeza mempengaruhi istirehat (relaxation) dan kesihatan mental,” katanya.

Menurutnya, kajian tersebut melibatkan tiga pendekatan terapi utama iaitu latihan pernafasan dalam, aromaterapi dengan minyak pati dan Ruqyah (bacaan al-Quran), bersama kumpulan kawalan untuk perbandingan hasil cerapan.

Jelasnya, hasil kajian menunjukkan pernafasan dalam (deep breathing) dan aromaterapi adalah kaedah yang berkesan untuk mengurangkan stres dan meningkatkan kesejahteraan mental di tempat kerja. Terapi yang mudah dilaksanakan ini membantu pekerja mencapai ketenteraman, mengurangkan kebimbangan dan meningkatkan fokus.

Selain menyertai persidangan, delegasi NIOSH Malaysia turut mengadakan lawatan kerja ke Pusat Penyelidikan Kebangsaan untuk Persekitaran Kerja (NFA) Denmark bagi merangka kerjasama antarabangsa untuk menangani cabaran baharu keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia termasuk isu berkaitan kesihatan mental.

Langkah ini juga selari dengan usaha NIOSH untuk melatih 10,000 peserta di bawah Kursus Pertolongan Cemas Psikologi Pekerjaan (OPFA) secara percuma.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast