KUANTAN – Seorang pemuda maut setelah motosikal ditunggangnya melanggar seekor lembu di kilometer 10 Jalan Kuantan-Chini pada pukul 10.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Y15ZR dipercayai dari arah Felda Chini Timur menghala ke Felda Chini.
“Bagaimanapun, ketika sampai di lokasi kejadian, mangsa gagal mengelak daripada melanggar seekor lembu yang sedang melintas jalan,”katanya dalam kenyataan.
Akibat kemalangan itu, mangsa, Muhammad Zulhijan Kafli, 29, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Pekan bagi tujuan bedah siasat.
Mohd Zaidi memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette