Chan Wan Kooi dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini untuk didakwa atas pertuduhan bersubahat melakukan penculikan bertujuan menuntut wang tebusan RM20 juta pada 13 Oktober lalu

JOHOR BAHRU – Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan bersubahat melakukan penculikan bertujuan menuntut wang tebusan RM20 juta pada 13 Oktober lalu.

Tertuduh, Chan Wan Kooi, 57, hanya mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin direkodkan di hadapan Hakim Hazeelia Muhammad.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan persubahatan jenayah dengan Chong Shih Ming, Luong Van Tung dan Tran Van Chung dalam melakukan kesalahan menculik seorang lelaki berusia 59 tahun dengan tujuan menuntut wang tebusan sebanyak RM20,000.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Jalan Straits View di sini pukul 5 pagi pada 13 Oktober lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 (Akta 365) dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 40 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Umar Faiz Abdul Kohar membantah sebarang jaminan diberikan terhadap tertuduh memandangkan kes itu akan didengar di Mahkamah Tinggi termasuk isu jaminan.

Peguam Datuk Jagjit Singh Bant Singh yang mewakili tertuduh, bagaimanapun memohon jaminan dibenarkan atas faktor anak guamnya sudah berada dalam tempoh tahanan reman yang lama, ditambah wanita itu mempunyai masalah kesihatan iaitu sakit jantung.

Tertuduh katanya, mempunyai tiga anak berusia antara 28 hingga 36 tahun dan mempunyai empat cucu berusia empat hingga sembilan tahun.

“Tertuduh menjaga semua cucu-cucunya. Anak guam saya menjalani pemeriksaan berkala bagi masalah kesihatannya.

“Difahamkan, tertuduh juga adalah pengarah bagi dua syarikat dan beralamat tetap di Johor Bahru. Tiada risiko untuk dia melarikan diri,” katanya.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan turut dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Maisarah Hassan dan peguam Fairoz Elyas Majeed serta Ng Kian Pin bertindak sebagai peguam pemerhati.

Mahkamah kemudian menolak permohonan pihak pembelaan dan tiada sebarang jaminan dibenarkan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 Novvmber ini.

Pada 4 November lalu, Shih Ming, 46, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim atas tuduhan menculik ahli perniagaan itu dengan tujuan menuntut wang tebusan sebanyak RM20 juta di Jalan Straits View di sini pukul 5 pagi, 13 Oktober lalu.

Sementara Van Tung, 39, dan Van Chung, 29, yang didakwa bersama-sama Shih Ming tidak membuat sebarang pengakuan kerana tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Malaysia.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1960 (Akta 365) dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 40 tahun dan dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah Sesyen kemudian membenarkan Shih Ming diikat jamin sebanyak RM50,000, bagaimanapun Mahkamah Tinggi di sini, membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang membuat semakan akan jaminan itu.

Maka jaminan yang dibenarkan Mahkamah Sesyen itu diketepikan dan Chong kemudian ditahan di Penjara Ulu Choh, Pontian.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here