KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada Politeknik Port Dickson kerana menerima pengiktirafan Platinum oleh Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC) sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terbaik di Asia Pasifik.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ia merupakan satu kejayaan amat membanggakan kerana APACC merupakan badan akreditasi dihormati di rantau Asia Pasifik khususnya dalam bidang TVET.
Katanya, pengiktirafan daripada APACC bukan sahaja melambangkan kualiti dan keunggulan pendidikan ditawarkan, malah membawa makna bahawa standard institusi negara kini diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Saya berharap agar pencapaian ini dapat menyuntik semangat dan inspirasi kepada semua institusi TVET di Malaysia untuk terus berinovasi dan mencapai kecemerlangan lebih tinggi seiring dengan agenda TVET Negara dalam meningkatkan kualiti hidup graduan dan membina masyarakat yang berkemahiran tinggi.
“Sekali lagi, syabas dan tahniah kepada Politeknik Port Dickson! I’m really proud of this. Semoga ia menjadi pembakar semangat untuk kita terus maju dalam membina masa depan yang lebih gemilang. Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini. – MalaysiaGazette