Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh mengimbas kad perakam waktu keluar pada hari terakhir bertugas di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 11 NOVEMBER 2024

PUTRAJAYA – Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh mengakhiri tugas rasmi beliau sebagai Peguam Negara di pejabatnya di sini hari ini.

Dalam majlis mendaftar keluar daripada pejabatnya petang tadi, Ahmad Terrirudin akan memulakan tugas baharunya sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan selepas mengangkat sumpah jawatan di Istana Kehakiman esok.

“Terima kasih pada kerajaan kerana memberi saya peluang menerajui Jabatan Peguam Negara. Esok saya angkat sumpah. Okay Putrajaya thank you very much. Terima kasih semua,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Ahmad Terrirudin mendaftar keluar pukul 4.35 petang dengan disaksikan Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang akan menggantikannya.

Awal hari ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu kenyataan mengumumkan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu berkuat kuasa esok.

Mohd Dusuki menggantikan Terrirudin yang telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Shamsul Azri berkata, pelantikan Mohd Dusuki selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ahmad Terrirudin dilantik sebagai Peguam Negara berkuatkuasa 6 September 2023 menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 September 2023.

Terrirudin memulakan kerjaya sebagai pegawai undang-undang pada 1992 sudah berkhidmat di pelbagai kedudukan termasuk Hakim Mahkamah Sesyen dan kemudian dilantik Pengerusi Mahkamah Perusahaan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Beliau juga pernah menjadi Timbalan Ketua Jabatan Sivil di Pejabat Peguam Negara dan berkhidmat sebagai penasihat undang-undang Kedah sebelum dilantik Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 2019. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast