KUALA LUMPUR – Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu menggantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkuat kuasa esok.
Ketua Setiausaha Nengara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pelantikan Mohd Dusuki telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Pelantikan Datuk Mohd Dusuki Mokhtar sebagai Peguam Negara yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan,” jelas Shamsul Azri dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Dusuki dilahirkan di Machang, Kelantan, berusia 57 tahun dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang- Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta Ijazah Sarjana Undang-Undang dari University of Wollongong, Australia.
Beliau mempunyai pengalaman yang luas selama 31 tahun dalam perkhidmatan perundangan di Jabatan Peguam Negara.
Terrirudin dilantik sebagai peguam negara pada 6 September tahun lalu, bagi menggantikan Tan Sri Idrus Harun, yang kontraknya berakhir pada 5 September.
Sebelum memegang jawatan Peguam Negara, Terrirudin adalah peguam cara negara. – MalaysiaGazette