KUALA LUMPUR – Jabatan Kerja Raya (JKR) mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) menerusi pengoperasian Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) dan aplikasi mudah alih Sistem e-Bencana yang telah dinaik taraf.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, BiGBen berfungsi sebagai pusat sehenti maklumat bencana yang melibatkan aset seliaan JKR Malaysia di sepanjang jalan negeri dan jalan Persekutuan.
Katanya, maklumat komprehensif tersedia melalui BiGBen untuk dikongsi dengan orang awam berkaitan maklumat bencana seperti banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak atau runtuh.
“Antara manfaat utama adalah maklumat berkenaan penutupan jalan serta informasi laluan alternatiif untuk membolehkan pengguna jalan raya merancang perjalanan semasa musim tersebut.
“Aplikasi Sistem eBencana JKR pula merupakan sebuah platform bersepadu yang mengintegrasikan data di Laman Pengurusan Bencana utnuk diakses terus je telefon bimbit.
“Pengguna boleh memuat turun aplikasi ini secara percuma di App Store dan Google Play,” katanya kepada media selepas melancarkan bilik Gerakan berkenaan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, BiGBen diterajui oleh sekretariat Bilik Gerakan Bencana JKR Malaysia yang terdiri daripada warga kerja JKR di Ibu Pejabat JKR Kuala Lumpur dengan kolaborasi JKR negeri dan JKR daerah yang berperanan mengemaskini maklumat bencana menerusi laman rasmi pengurusan bencana.
Katanya, pengoperasian BiGBen dikategorikan dalam tiga peringkat bergantung kepada situasi semasa bencana iaitu peringkat sistem amaran awal, peringkat pusat komunikasi bersepadu dan peringkat pusat tindakan cepat.
Justeru beliau berkata, pengoperasian BiGBen dan sistem eBencana JKR secara bersepadu ini pasti bermanfaat bukan sahaja untuk kegunaan orang awam, malah berupaya menjadi sumber rujukan kepada semua pihak berkepentingan terutama kepada agensi yang terlibat untuk tindakan penyelarasan dan pengurusan bencana yang lebih efisien.
“Kerajaan melalui aspirasi MyJalan sentiasa memberi focus yang berterusan kepada kesejahteraan rakyat terutama dalam memastikan keterhubungan mobility dan aksessibiliti melalui infrastruktur jalan raya yang selesa dan selamat,” tambahnya. – MalaysiaGazette