KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran memainkan peranan penting menyediakan inisiatif bagi membantu penternak kecil bagi melaksanakan penternakan telur ayam bebas sangkar di Malaysia.
Bendahari Persatuan Pengeluar Telur Bebas Sangkar Malaysia (MCFEPO), Meor Ezree Syazrin Meor Abdul Ghani memberitahu, inisiatif itu bukan sahaja membuka peluang kepada golongan penternak kecil untuk menyertai industri telur yang lebih mampan.
Malah jelas beliau, ia dapat juga membantu membangunkan ekosistem yang lestari secara berterusan kepada industri tersebut.
“Dengan usaha kerajaan ini dan kesedaran pengguna yang semakin meningkat, penternak kecil dijangka akan menikmati manfaat yang lebih besar melalui standard Malaysia yang sedang dibangunkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Meor Ezree Syazrin menambah, selain memberikan manfaat kepada pengguna, inisiatif itu juga membuka peluang kepada penternak kecil untuk menyertai pasaran premium.
“Dengan menggunakan kaedah penternakan bebas sangkar, penternak kecil dapat menawarkan telur berkualiti yang diiktiraf sekaligus memaksimumkan keuntungan dalam pasaran yang lebih eksklusif,” ujarnya.
Namun, beliau turut menyatakan peralihan dari sistem konvensional kepada sistem bebas sangkar memerlukan kos tambahan terutamanya daripada segi infrastruktur dan pemantauan secara berkala.
“Walaupun peralihan itu dijangka mengambil masa, namun ia memberi pilihan yang lebih baik kepada pengguna. Ini kerana ayam yang diternak secara bebas sangkar juga menghasilkan telur berkualiti dengan kadar pengeluaran yang lebih stabil,” ujarnya.
Telur yang dihasilkan oleh ayam yang dipelihara tanpa sangkar kaya dengan asid lemak omega-3 dan baik untuk kesihatan.
Selain itu, telur itu juga mengandungi kadar vitamin D yang lebih tinggi, yang penting untuk tulang yang kuat dan sistem imun yang sihat, tambahnya.
Sementara itu, untuk mengukuhkan kedudukan MCFEPO di Malaysia, Meor Ezree Syazrin mengumumkan persatuan itu akan dilancarkan secara rasmi pada 23 November ini di ibu negara.
Pelancaran itu menurutnya, bertujuan memperkenalkan inisiatif baharu dalam industri ternakan telur negara, dengan fokus kepada pengeluaran telur tanpa sangkar yang lebih lestari dan beretika.
Dengan pelancaran ini, Meor Ezree Syazrin berharap ia dapat menjadi platform penting untuk menggalakkan lebih ramai pengeluar telur beralih kepada amalan penternakan tanpa sangkar. – MalaysiaGazette
















