KUALA LUMPUR – Kes buli terbaharu di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) amat memalukan kerana ia berlaku di sebuah universiti berprestij yang berperanan melatih bakat dan pelapis masa depan untuk Angkatan Tentera Malaysia.
Apatah lagi, di media-media sosial, warga maya menggesa pembubaran UPNM ini, dan para pelajar serta ahli akademik dan staf dipindahkan ke institut pendidikan tinggi yang lain.
Pengerusi Biro Penerangan MCA, Chan Quin Er berkata, insiden buli terbaharu ini jelas sekali tragedi maut yang melibatkan Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu tidak berjaya mengubah pemikiran, atau ‘mindset’, para pelatih dan jurulatih di UPNM.
Tambah beliau, alasan “gurauan” atau “main-main sahaja” dalam kalangan kadet tidak boleh diterima langsung, dan staf UPNM juga harus dipertanggungjawabkan.
Kakitangan UPNM juga tidak harus bergantung kepada hukuman semata-mata untuk menghalang kes buli, sebaliknya perlu mengambil langkah proaktif untuk mengubah cara pemikiran bahawa buli ini sebahagian latihan, kerana dibimbangi menjadi luar kawalan sehingga menyebabkan kecederaan serius.
Jelasnya, sebagai peguam dan pernah menyertai askar wataniah, beliau berkata, UPNM perlu mengambil langkah konstruktif untuk mengubah mentaliti bahawa perkara buli adalah perkara biasa.
Menurut beliau, tindakan membuli yang mengakibatkan kecederaan boleh dituduh mengikut Seksyen 323, 324 dan kesalahan berkaitan perkataan atau isyarat yang bermaksud mengaibkan kehormatan seseorang di bawah seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 324 pula, hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda boleh dikenakan mengikut Seksyen 325.
“Mungkin tiba masa undang-undang yang mengenakan hukuman lebih ketat digubal bagi membanteras gejala buli yang tidak berkesudahan ini,” katanya di sini.
Quin Er menambah, MCA yakin pelatihan kadet UPNM boleh dibuat tanpa membabitkan pembulian junior oleh senior.
Tegas beliau, pembuatan “ragging” atau “hazing” harus dipantau dengan teliti oleh seorang penyelia untuk memastikan kegiatan ini tidak menjadi terlampau.
Kegiatan “hazing” ini juga perlu ada matlamatnya, iaitu untuk membina mentaliti yang kuat, dan sikap sabar atau tenang apabila menghadapi dugaan.
Untuk itu, katanya, satu mekanisme juga harus dilaksanakan untuk membolehkan junior membuat aduan terhadap mana-mana senior yang membuli.
“Kami sedar bahawa UPNM mahu memupuk pengajaran menurut perintah tanpa menyoalkan arahan senior, tetapi kuasa ini jelas sekali telah disalahguna segelintir senior, dan ini tidak patut berlaku.
“Pihak UPNM boleh melakukan penilaian semula terhadap cara operasinya untuk memastikan gejala buli ini dihentikan sama sekali, dan nama UPNM dapat dimartabatkan semula,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
Setuju patut ditukar menjadi Akademi Angkatan Tentera..bukannya Universiti! Di US dan UK juga tak ada universiti tentera. Budaya tentera dan budaya akademia universiti berbeza…