Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merancang menyediakan lebih banyak penajaan peringkat program sub kepakaran dan sabatikal pada masa depan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ia bagi meningkatkan kepakaran dan kompetensi pensyarah Universiti Awam (UA) seiring teknologi dan keperluan semasa.

Menurutnya, KPT juga kini sedang menyemak semula kemudahan penawaran dan syarat kelayakan baharu untuk program pasca kedoktoran dan tidak terhad kepada pensyarah berjawatan tetap sahaja.

“Ketika ini, terdapat empat program penajaan disediakan kepada pensyarah di UA iaitu Program Skim Latihan Akademik Bumiputera (SLAB), Skim Latihan Akademik IPTA (SLAI), Sub Kepakaran dan Pasca Kedoktoran untuk pensyarah melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry menambah, KPT komited memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat kepada masyarakat termasuk anggota tentera.

Bagi tujuan itu, beliau berkata, kementerian melalui Agensi Kelayakan Malaysia sedang mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pertahanan untuk membangunkan projek khas Work Base Learning 2.0.

Katanya, ia adalah pemetaan kurikulum program dengan pengalaman dan perkhidmatan anggota tentera yang dapat membantu meningkatkan kemahiran mereka.

Sementara itu, Zambry berkata, penubuhan sesebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) merangkumi UA, politeknik dan kolej komuniti akan dinilai berdasarkan aspek tertentu termasuk permintaan semasa yang merangkumi keperluan dan perspektif pelajar dan masyarakat serta mesti seimbang dengan saiz populasi.

Beliau berkata, penubuhan IPTA juga mengambil kira kecukupan dan kesediaan tenaga pakar dalam sesuatu bidang, keupayaan menyediakan dan menyelenggara prasarana serta kemandirian kewangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast