MANJUNG – Polis menahan lima lelaki susulan kejadian menceroboh dan khianat harta benda ke atas sebuah rumah di Changkat Keruing, dekat sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.14 pagi.
Menurutnya, hasil maklumat daripada laporan berkenaan, lima suspek telah datang ke rumah tersebut dengan dua daripada mereka masuk ke dalam tanpa kebenaran.
Kata beliau, kesemua suspek bertindak demikian kerana ingin mencari adik mangsa tetapi tidak menjumpainya.
“Keluarga mangsa cuba membuat perbincangan secara aman namun salah seorang suspek bertindak membaling botol kaca ke dalam kawasan rumah.
“Mangsa bertindak membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan kesemua suspek.
“Semasa di balai polis Kampung Bharu, mangsa terima panggilan daripada jiran memaklumkan suspek yang sama berada di hadapan rumah pengadu.
“Jiran memaklumkan suspek telah memecahkan cermin sebuah van dan cermin tingkap rumah mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Hasbullah, susulan itu polis berjaya menahan kesemua suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 448 dan 427 Kanun Keseksaan.
Ujar beliau, kesemua suspek akan direman di Mahkamah Majistret Seri Manjung bagi melengkapkan siasatan polis. – MalaysiaGazette