GEORGE TOWN – Teman lelaki dan kakak angkat kepada remaja perempuan yang ditemui maut selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominumium di Farlim di sini, kelmarin, dibebaskan dengan jaminan polis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, masing-masing mereka yang berusia 18 dan 19 tahun itu merupakan penganggur.
“Kedua-dua mereka yang positif dadah itu dibebaskan dengan jaminan polis sementara kita menunggu laporan patologi,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Mengulas mengenai punca kematian remaja 15 tahun itu, Swee Sake berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang semalam mendapati punca kematian remaja itu disebabkan pelbagai kecederaan konsisten akibat jatuh dari tempat tinggi.
Media semalam melaporkan polis menahan teman lelaki dan kakak angkat kepada remaja berusia 15 tahun yang ditemui maut selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Farlim di sini.
Lelaki berusia 18 tahun manakala gadis, 19, itu ditahan susulan ujian saringan air kencing terhadap kedua-duanya individu berkenaan didapati positif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Bahaya 1952. – MalaysiaGazette