Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kekal dan tidak akan berpatah balik! Itu keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dibuat masing-masing pada 2021 serta 2022.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan, ini kerana peperiksaan awam itu disifatkan tidak lagi relevan khususnya dalam menerajui Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“KPM tidak akan berpatah balik untuk mengekalkan berkaitan menghapuskan UPSR dan PT3 kerana ia tidak lagi relevan.

“Tetapi kita beri ruang kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) diperkukuh, berlangsung dengan baik. Apa pun yang berlaku dalam pendidikan harus dikembalikan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar kementeriannya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy (WARISAN-Kota Belud) dan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) yang meminta pihak kementerian mengembalikan semula dua peperiksaan terbabit.

Sementara itu, Fadlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menjelaskan, penghapusan UPSR dan PT3 tidak bermaksud tiada peperiksaan yang akan menilai prestasi pelajar.

Sebaliknya, kata beliau, KPM akan memperkukuhkan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) sebagai sebahagian daripada konteks pentaksiran supaya menjadi penanda aras kepada ibu bapa untuk mengetahui prestasi pendidikan anak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast