KUALA LUMPUR – Prestasi Kerajaan Perpaduan perlu merujuk kepada pencapaian dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia dalam melaksanakan konsep Kerajaan Madani.
Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan berkata, penilaian Pengerusi Bersih, Faisal Aziz berhubung dua tahun pertama kerajaan Madani mendapati, terdapat jurang yang ketara antara janji reformasi dan pelaksanaan sebenar.
Penilaian itu kata beliau, yang menggabungkan dua bahagian menunaikan komitmen manifesto dan perbandingan dengan pentadbiran terdahulu kembali dengan kerajaan Madani mencatatkan jumlah 45.8 peratus, bersamaan gred D.
“Kami melihat ia kepada lima perkara asas iaitu dari sudut ekonomi, meskipun kerajaan mengumumkan pelbagai inisiatif bantuan, banyak golongan B40 dan M40 masih berhadapan dengan kesukaran ekonomi.
“Apakah dasar ekonomi kerajaan benar-benar dapat menyelesaikan isu kos sara hidup yang semakin meningkat. Ianya ditambah pula dengan nilai ringgit yang makin melemah jika dilihat dalam tempoh dua tahun ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Shahir berkata, mengenai janji manifesto, kerajaan gagal untuk memulakan dasar bagi memastikan perwakilan yang adil dan membiarkan janji reformasi pilihan raya penting tidak ditangani.
Katanya, Akta Pembiayaan Politik dan pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya masih tidak lengkap hingga menimbulkan keraguan tentang komitmen kerajaan terhadap pilihan raya yang telus dan adil.
“Ini termasuk untuk memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya, dan untuk memberi kuasa pengawasan parlimen dalam pelantikan ketua institusi utama seperti SPRM dan Suruhanjaya Pilihan Raya,” ujarnya.
Menurut Shahir, berhubung isu ketelusan dan tatakelola, pembangkang mengkritik kerajaan Madani dalam hal perbelanjaan awam dengan menuntut lebih banyak ketelusan mengenai peruntukan dan penggunaan dana negara.
Katanya, ada yang mempersoalkan apakah kerajaan benar-benar mengutamakan pengurangan rasuah dan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam, terutamanya dalam konteks penyalahgunaan kuasa.
“Namun demikian, era Kerajaan Madani dilihat tiada lagi kontrak secara terus. Malangnya, beberapa individu rapat, seperti bekas setiausaha politik Perdana Menteri dan suami seorang menteri Kabinet, terlibat dalam urusan perniagaan dengan cara mencurigakan,” katanya.
Keempat, beliau berkata, kebebasan dan Hak Asasi Manusia, kerajaan perlu memastikan media bebas dan tidak mengekang kebebasan bersuara.
Katanya, kritikan juga datang apabila ada laporan mengenai tindakan terhadap aktivis hak asasi atau penahanan tanpa perbicaraan yang dianggap bertentangan dengan prinsip-prinsip Kerajaan Madani yang menjunjung tinggi hak asasi.
“Kelima, kepimpinan dan perpaduan politik yang mana dinamika dalam kerajaan perpaduan yang terdiri daripada pelbagai parti politik.
Shahir menjelaskan, dalam pandangan mereka, terdapat kemungkinan ketegangan antara parti-parti yang berbeza pendapat dan ideologi yang boleh menyebabkan ketidakstabilan dalam pemerintahan.
“Namun begitu, janji manifesto dan kerajaan yang telus dan adil perlu diberi keutamaan,” katanya.
Secara keseluruhannya Shahir berkata, rakyat perlu menilai kerajaan Madani dengan kritikan yang berfokus kepada pelaksanaan dasar, kebajikan rakyat, ketelusan dan keadilan sosial.
Walaupun ada pencapaian dalam beberapa sektor beliau memberitahu, kerajaan masih perlu bekerja lebih keras dalam menangani isu-isu pendapatan rakyat, tata kelola, keadilan sosial dan kelestarian alam sekitar.
“Kritik-kritik ini mencerminkan bahawa kerajaan sentiasa bertanggungjawab kepada rakyat dan memenuhi janji-janji yang telah dibuat.
“Daripada lima aspek, setakat ini hanya satu sahaja yang telah dilaksanakan iaitu perpaduan dan kestabilan politik,” tambahnya. – MalaysiaGazette