ISKANDAR PUTERI – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini diberitahu,
—————
ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri Johor tidak bercadang menaikkan elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) dan ia kekal pada kadar RM512 sebulan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, setiap guru KAFA diberikan elaun dan bantuan khas kerajaan yang lain seperti Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM2,000 seorang.
Jelas beliau, ini sebagai tambahan kepada Bantuan Khas Kewangan yang diberikan oleh Jakim sebanyak RM700 seorang pada tahun ini.
“Guru KAFA Johor juga turut memperoleh Bantuan Khas Kewangan Hari Raya sebanyak RM1,500, sama seperti yang dinikmati oleh kaki tangan kerajaan negeri yang lain.
“Guru-guru KAFA juga sentiasa menjadi keutamaan oleh kerajaan negeri yang memperuntukan RM1.63 juta setahun bagi membiayai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan RM231,600 setahun bagi caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) johor Penggal Ketiga kali ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini,
Mohd Fared (BN-Semerah) berkata demikian menjawab soalan lisan Mohd Yusla Ismail (BN-Senggarang) mengenai kenaikan elaun guru KAFA daripada RM512 kepada RM1,000.
Menurut Mohd Fared, guru-guru KAFA turut tidak terkecuali menerima bonus dua bulan kepada penjawat awam yang berkhidmat dalam negeri Johor yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada belanjawan Johor 2025.
Tambahnya, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) turut diberikan latihan dan kursus sama ada di peringkat negeri atau daerah yang diselia oleh Bahagian Pendidikan Islam bagi memperkasa mutu, kualiti dan kemahiran guru-guru KAFA di negeri ini.
“Meskipun kerajaan negeri masih mengekalkan elaun guru KAFA pada kadar RM512, namun begitu terlalu banyak insentif-insentif yang diberikan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan kepada guru-guru KAFA ini dengan tujuan meringankan beban kewangan mereka.
“Meskipun penambahan elaun guru KAFA tidak dapat dilaksanakan dalam masa yang terdekat, namun kerajaan negeri bersikap cakna terhadap isu kebajikan kewangan guru-guru KAFA dan akan sentiasa memastikan mereka tidak terkecuali daripada menikmati insentif-insentif kewangan kakitangan kerajaan negeri,” ujarnya. – MalaysiaGazette