KUALA LUMPUR – Polis sedang menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut termasuk elemen kecuaian berhubung kematian penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ketika menjalani latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) pada 13 November lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, buat masa ini, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Setakat ini, seramai 25 individu telah diambil keterangan berkaitan kes terbabit. Pihak polis akan memanggil beberapa individu lain bagi melengkapkan siasatan.
“Namun siasatan lanjut akan diteruskan bagi melengkapkan siasatan termasuk kemungkinan wujud elemen kecuaian atau lain,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Mengulas laporan mengenai dakwaan ibu bapa mangsa bahawa kematian pelatih berusia 26 tahun itu akibat didera serta dipaksa melakukan pelbagai aksi, Hussein berkata, ia hanya satu andaian.
“Empat saksi yang berada di tempat kejadian mengatakan sebaliknya bahawa tiada aksi ‘menunggang kuda’ oleh jurulatih terbabit. Bagaimanapun siasatan lanjut dijalankan berkaitan kes terbabit,” ujarnya.
Semalam, media melaporkan kematian pegawai kadet Palapes UiTM pada 13 November lalu berpunca daripada strok haba dengan kegagalan pelbagai organ.
Hussein dilapor berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam menerima laporan yang dibuat bapa mangsa pada 15 November lalu menyatakan menerima panggilan daripada Hospital Shah Alam yang memaklumkan anaknya dimasukkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Katanya, pengadu dimaklumkan rakan anaknya yang kejadian berlaku ketika sesi latihan di padang kawad yang dikendalikan seorang jurulatih Palapes UiTM Shah Alam sebelum mangsa pengsan serta dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan.
“Hasil siasatan polis mendapati mangsa menyertai Palapes di UiTM Shah Alam sejak akhir Oktober lalu dan kini sedang menjalani ujian kecergasan sebelum latihan asas Palapes bermula tahun 2025.
“Pada hari kejadian, mangsa didenda melakukan tekan tubi oleh jurulatih kerana ketinggalan dalam sesi larian. Mangsa dilihat melompat-lompat sebelum terjatuh dan rebah,” katanya. – MalaysiaGazette