Onn Hafiz ketika menjawab soalan lisan dalam sidang DUN di Banguan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini

ISKANDAR PUTERI – Air Terjun Kota Tinggi masih ditutup kepada umum sejak 2019 atas faktor keselamatan selepas kawasan itu dilanda bencana banjir besar dan kepala air.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, infrastruktur di Air Terjun Kota Tinggi rosak selepas dilanda kejadian tersebut yang berlaku pada 2019, 2022 dan 2023.

Menurutnya, satu kajian terperinci perlu dilakukan sebelum produk pelancongan terkenal itu dapat dibuka semula kepada masyarakat.

“Memang kerajaan negeri nak buka Air Terjun Kota Tinggi, cuma pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang mengkaji daripada segi keselamatan di kawasan itu.

“Kita sedia maklum pada 2019, 2022 dan 2023 berlaku banjir besar di kawasan itu yang menyebabkan kerosakan infrastruktur bernilai RM3.5 juta yang sudah dinaik taraf namun musnah disebabkan bencana banjir dan kepala air.

“Kerajaan Johor sedang melaksanakan kajian teliti bagi memastikan infrastruktur dapat dinaik taraf dan menyelesaikan isu banjir dan kepala air. Itu yang kita sedang laksanakan.

“Atas faktor keselamatan, kita terpaksa buat kajian lebih terperinci dan mengambil tindakan atas kajian berkenaan sebelum dapat buka Air Terjun Kota Tinggi semula,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Onn Hafiz (BN-Machap) menjawab soalan tambahan dikemukakan Muszaide Makmor (BN- Sedili) mengenai Air Terjun Kota Tinggi yang masih ditutup sehingga kini.

Pada Mei lalu, Pengerusi Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon dilaporkan berkata, Air Terjun Kota Tinggi ditutup sementara waktu sejak 2019 selepas bencana banjir melanda atas sebab-sebab keselamatan awam.

Bagaimanapun, penutupan Air Terjun Kota Tinggi sejak 2019 itu menjadi punca salah faham ramai yang mendakwa kononnya berlaku aktiviti pembalakan di situ, menyebabkan ditutup kepada awam.

Onn Hafiz berkata, kajian teliti akan dilakukan sebelum Air Terjun Kota Tinggi dapat dibuka semula susulan kerajaan negeri mengambil iktibar terhadap insiden kepala air di beberapa negeri yang mengorbankan nyawa orang awam,

“Kita perlu mengambil pengajaran daripada kejadian kepala air yang mengorbankan nyawa sebelum ini. Pada tahun 2021, berlaku kejadian kepala air dan tanah runtuh di Gunung Jerai yang mengorbankan enam nyawa.

“Terbaharu pada 16 November, kejadian kepala air punca berlaku di Sungai Jahang, Gopeng, Perak menyebabkan tiga nyawa terkorban,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast