KUALA LUMPUR – Polis menafikan video tular memaparkan seorang wanita didakwa diculik dua lelaki di hadapan pintu masuk sebuah kondominium di Jalan Zamrud Utama, Kajang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya telah mengesan video tular di TikTok milik ‘belladahiadelisha’ memaparkan kononnya berlaku penculikan.
“Hasil semakan mendapati sehingga kini tiada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan kejadian itu dan polis menolak dakwaan yang tular di media sosial bahawa ia kejadian penculikan.
“Maklumat juga mendapati ada saksi yang melihat kejadian ini mendakwa mendengar salah seorang dari pasangan tersebut mengatakan supaya orang ramai tidak mencampuri urusan mereka suami isteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, katanya, polis sedang menjalankan tindakan untuk mengesan pemilik kenderaan dan pasangan yang terlibat bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
Naazron berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Inspektor Suresh di talian 017-433 3795 bagi membantu siasatan.
“Orang ramai juga diingatkan tidak membuat sebarang komen yang tidak sahih sehingga mendatangkan kegusaran awam,” jelasnya. – MalaysiaGazette