VIENNA – Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, sebuah kumpulan yang dikenali sebagai OPEC+, bersetuju untuk mengekalkan pengeluaran minyak pada paras semasa bagi suku pertama 2025.
Dalam satu kenyataan di laman web OPEC, lapan negara OPEC+ iaitu Arab Saudi, Rusia, Iraq, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Kazakhstan, Algeria dan Oman komited melanjutkan pemotongan pengeluaran secara sukarela sebanyak 2.2 juta tong sehari (bpd) yang pernah diumumkan pada November 2023, hingga akhir Mac 2025.
Pemotongan sukarela ini akan “dihentikan secara beransur-ansur pada asas bulanan sehingga akhir September 2026 untuk menyokong kestabilan pasaran,” tetapi kenaikan bulanan boleh dijeda atau berpatah balik mengikut keadaan pasaran, menurut kenyataan itu.
Selain itu, lapan negara akan melanjutkan pengurangan pengeluaran sukarela sebanyak 1.65 juta tong sehari, pertama kali diumumkan pada April 2023, hingga akhir 2026.
Dalam satu kenyataan berasingan, OPEC berkata, negara-negara OPEC+ bersetuju pada mesyuarat menteri untuk memanjangkan tahap pengeluaran minyak mentah keseluruhan ke sepanjang tahun 2026.
OPEC+ telah membuat keputusan untuk “mencapai dan mengekalkan pasaran minyak yang stabil, dan menyediakan panduan dan ketelusan jangka panjang untuk pasaran, dan selaras dengan pendekatan berwaspada, proaktif, dan pre-emptive,” menurut kenyataan itu. .
Pada mesyuarat peringkat menteri, negara-negara OPEC+ juga mengulangi kepentingan mematuhi sepenuhnya kuota pengeluaran dan mekanisme pampasan kumpulan itu.
Harga minyak secara amnya telah menurun dalam beberapa minggu kebelakangan ini disebabkan kebimbangan terhadap permintaan global yang perlahan dan peningkatan bekalan daripada pengeluar di luar pakatan OPEC+.
Penanda aras minyak mentah antarabangsa Brent telah didagangkan sedikit melebihi AS$70 dolar Amerika Syarikat setong sejak beberapa minggu lalu, turun daripada lebih AS$80 dolar pada bulan Julai.
Sejak Ogos, OPEC telah menurunkan ramalannya untuk pertumbuhan permintaan minyak global pada 2024 dan 2025 selama empat bulan berturut-turut, seperti yang diperincikan dalam laporan pasaran bulanannya.
Mesyuarat menteri OPEC+ seterusnya dijadualkan pada 28 Mei 2025, untuk menyemak dasar pengeluaran.
Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Pemantauan Menteri Bersama OPEC+ itu mengekalkan kuasa untuk mengadakan mesyuarat tambahan mengikut keperluan untuk bertindak balas terhadap perkembangan pasaran. – Agensi