TUMPAT – Penduduk di daerah ini bersiap sedia berdepan kemungkinan berlaku banjir sekali lagi ekoran hujan lebat yang diramal di seluruh negeri ini bermula esok.
Bagaimanapun, mereka tetap berharap gelombang ketiga banjir itu tidak berlaku kerana masih terkesan dan belum pulih sepenuhnya daripada banjir gelombang pertama hujung bulan lalu.
Bagi mangsa banjir Siti Hafiza Awang, 36, dia mengakui bimbang sekiranya banjir berulang memandangkan baru pulang ke rumahnya hari ini selepas lapan hari tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cabang Empat di sini.
Apatah lagi, katanya, dia yang mengusahakan kedai makan juga masih terkejut melihat keadaan rumah kedainya yang didiami bersama suami serta seorang anak yang musnah ditenggelami banjir.
“Ketika gelombang banjir pertama rumah saya tenggelam melepasi paras kepala, semua peralatan berniaga, perabot dan pakaian musnah.
“Saya baru dapat tengok keadaan rumah hari ini dan sekarang pun tidak sempat bersihkan rumah sebab kerosakan terlalu teruk.
“Saya tidak tahu bagaimana nasib kami sekiranya gelombang banjir ketiga benar-benar terjadi,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Mohd. Basir Azmi, 32, berkata, dia sekeluarga juga berada dalam keadaan berjaga-jaga dan berwaspada dengan kemungkinan berlakunya banjir sekali lagi dan akan segera berpindah sekiranya hujan lebat berterusan.
Buat masa sekarang, ujarnya, keselamatan dia dan keluarga menjadi keutamaan sementelah perkakasan rumah, peralatan elektrik, perabot dan pakaian mereka juga banyak yang sudah rosak akibat banjir hujung bulan lalu.
“Sekarang pun rumah kami masih ditenggelami air walaupun banjir semakin surut dan kami hanya mengemas serta membersihkan rumah setakat yang termampu sahaja,” katanya.
Sementara itu, bagi pasangan suami isteri Ibrahim Ali, 49, dan Nurhayati Isa, 37, mereka juga hanya mampu berdoa banjir gelombang ketiga tidak berlaku.
Ini kerana, kata Ibrahim, mereka baru dapat pulang ke rumah di Kampung Atas Kok, Simpangan dekat sini selepas lebih seminggu berada di PPS.
“Rumah kami masih terkepung air banjir walaupun air dalam rumah sudah surut berbanding setinggi paras pinggang semasa gelombang pertama banjir hujung bulan lalu.
“Tetapi kami tiada pilihan dan perlu pulang untuk melihat keadaan rumah disebabkan sudah agak lama tinggal di PPS,” katanya.
Tambah Ibrahim, dia dan isteri serta tiga anak mereka juga tidak bimbang untuk berpindah sekiranya banjir gelombang ketiga berlaku disebabkan mempunyai sampan sendiri untuk menyelamatkan diri.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan Terengganu, Kelantan dan Pahang berkemungkinan berdepan hujan lebat berterusan berserta angin kencang yang sekali gus membawa kepada banjir gelombang ketiga.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, keadaan tersebut dijangka bermula esok hingga 14 Disember ini ekoran kehadiran luruan monsun bagi tempoh itu.
Menurut Mohd. Hisham, kehadiran luruan monsun pada tempoh tersebut dijangka tidak sekuat gelombang kedua yang berakhir 30 November lalu.
Bagaimanapun katanya, situasi banjir di negeri Kelantan dan Terengganu yang belum surut sepenuhnya, keadaan tanah tepu di kawasan terlibat serta turunan hujan semasa luruan pada tempoh akan datang boleh menyebabkan bencana alam itu berlaku lagi. – MalaysiaGazette