THE HAGUE – Sekurang-kurangnya lima orang maut dan empat lagi cedera selepas letupan menggegarkan sebuah blok flat di sini.
Anggota bomba bergegas ke bangunan tiga tingkat itu susulan letupan yang menyebabkan beberapa rumah runtuh di kawasan Tarwekamp sekitar 6.15 pagi waktu tempatan, pada hari Sabtu.
Datuk Bandar bandar itu, Jan van Zanen berkata, tidak diketahui berapa ramai orang yang masih hilang.
Punca letupan masih belum jelas, tetapi polis Belanda berkata, kejadian berlaku sebuah kereta dipandu “dengan kelajuan sangat tinggi”.
Polis kini meminta saksi tampil membantu siasatan kejadian tersebut.
Van Zanen berkata, peluang mangsa terselamat ditarik keluar dari runtuhan adalah tipis, dan menggesa masyarakat untuk bersedia menghadapi “senario terburuk”.
Beliau juga enggan membuat sebarang pengesahan jumlah orang yang mungkin berada dalam rumah pangsa itu semasa kejadian berlaku.
Namun, bomba Belanda berkata, lima orang disahkan maut.
Media-media Belanda pula melaporkan lima flat musnah dalam letupan itu.
Pasukan penyelamat dengan anjing pengesan dikerahkan untuk mengesan mangsa dari serpihan, tetapi bahagian tapak masih terlalu berbahaya untuk diakses.
Sebuah jengkaut besar telah dibawa masuk untuk membuang serpihan dan lampu telah dipasang di tapak.
Penduduk mendakwa letupan itu umpama ‘gempa bumi”. – Agensi