KUALA LUMPUR – Sebanyak 500 kotak bantuan untuk golongan asnaf dan keluarga yang memerlukan dihulur Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) sebagai usaha memperkukuh solidariti masyarakat melalui pelbagai aktiviti berteraskan kemanusiaan, keagamaan dan perpaduan.
Ia sekaligus mempromosi nilai kasih sayang dan kebersamaan dalam komuniti melalui Program Jelajah Peduli Ummah 2024: Program Ummah Bantu Ummah.
MAPIM dalam kenyataan memaklumkan, penyediaan makanan panas kepada lebih 1,000 orang melalui Mobile Kitchen serta pemeriksaan kesihatan percuma kepada 200 penduduk menggunakan Bas Mobile Clinic dua Tingkat turut diadakan menerusi program yang diadakan i IWK Eco Park, Pantai Dalam hari ini.
Selain itu, Program Cat Rumah kediaman empat keluarga yang memerlukan manakala Peduli Ummah Walk sejauh tiga kilometer telah memupuk semangat riadah dan perpaduan komuniti.
Antara aktiviti lain yang turut diadakan adalah seperti Kenduri Rakyat, Jualan Rahmah, e-games, sukaneka dan pertandingan mewarna.
Rakan strategik MAPIM, ZUS Coffee dan Cinta Gaza Malaysia (CGM) turut memainkan peranan penting dalam program berkenaan.
ZUS Coffee menyumbang bantuan kepada asnaf manakala CGM menyantuni kanak-kanak dan menyumbang kepada aktiviti bersama komuniti.
Aset-aset penting seperti Mobile Kitchen Bus, Double-Decker Mobile Clinic, dan pacuan empat roda (4X4) MAPIM Rangers turut digerakkan untuk menyokong kelancaran program.
Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby dalam kenyataan sama menyeru masyarakat untuk bersama-sama menyokong inisiatif itu.
“Jelajah Peduli Ummah merupakan manifestasi usaha kolektif masyarakat untuk saling membantu. Selain itu, program ini juga menjadi ruang untuk menyantuni mangsa banjir di Kedah, Negeri Sembilan dan Kelantan yang melibatkan lebih 5,000 penerima manfaat.
“Inisiatif seperti ini diharapkan dapat memperkukuh perpaduan, mengangkat semangat kebersamaan, dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya. – MalaysiaGazette