RANTAU PANJANG – Pernah tular di media sosial kerana menjadi seolah-olah pekan mati dan suram – kawasan beli-belah Rantau Panjang kini berubah wajah – apabila penuh sesak dengan pengunjung.
Meskipun perit untuk diakui namun situasi itu berlaku disebabkan musibah bencana banjir besar yang melanda pekan itu hujung bulan lalu yang menyebabkan pekan Rantau Panjang kembali menjadi tumpuan.
Selain penduduk tempatan, pengunjung dari luar negeri khususnya kumpulan sukarelawan yang datang membantu mangsa banjir di daerah terbabit turut tidak melepaskan peluang singgah di pusat beli-belah yang pernah menjadi ikonik bagi negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut.
Bagi seorang peniaga kelengkapan rumah, Noraini Mohamad, 36, kedainya kini dipenuhi pengunjung sama seperti ketika dia mula berniagan di pekan tersebut kira-kira 10 tahun lalu.
Katanya, situasi itu memberikan sedikit kelegaan buatnya serta para peniaga di situ selepas sebelum ini tertekan untuk meneruskan perniagaan disebabkan pekan tersebut semakin sunyi daripada pengunjung.
Malah hasil jualan yang diperoleh para peniaga di situ selepas musim banjir ketika ini sedikit sebanyak dapat menampung kerugian yang dialami mereka sebelum ini.
“Memang seronok melihat kemeriahan pekan Rantau Panjang ketika ini yang mana suasananya sama seperti yang kami rasai sebelum pekan ini menjadi sunyi kira-kira dua ke tiga tahun lalu.
“Bagi kami musibah banjir di pekan ini yang terburuk dalam sejarah hujung bulan lalu turut membawa rezeki,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Pekan Rantau Panjang antara lokasi yang turut terjejas bencana banjir yang melanda beberapa daerah di Kelantan bermula 27 November lalu dengan keseluruhan kedai di pusat beli-belah bebas cukai di sini ditenggelami banjir sehingga paras pinggang.
Sementara itu, seorang lagi peniaga pakaian, Fadhi Mat Yusof, 53, gembira dan teruja melihat pekan Rantau Panjang kembali meriah dan sesak dengan pengunjung.
Katanya, walaupun terpaksa menjual pakaian di premisnya yang terkena air pada harga lelong serendah RM5 namun dia sekurang-kurangnya dapat memperoleh pendapatan dan menghabiskan stok jualannya.
“Sebelum ini jualan sangat perlahan sebab memang tidak ramai yang berkunjung di sini tapi sekarang alhamdulillah, orang ramai mula datang semula ke pekan Rantau Panjang ini dan saya berharap situasi sebegini berterusan sampai bila-bila, bukan hanya disebabkan musibah banjir semata-mata,” katanya yang kini turut aktif berniaga menerusi platform TikTok.
Sementara itu, bagi pembantu kedai pakaian, Hasanah Isa, 41, juga tidak menang tangan melayan pelanggan ke kedainya yang kini berlipat kali ganda berbanding sebelum ini.
Katanya, ramai penduduk tempatan khususnya tidak mahu melepaskan peluang membeli baju, seluar dan tudung di kedainya yang dilelong pada harga serendah RM10. – MalaysiaGazette